Eksperimen 1.3 – Sains Tingkatan 5 (KSSM) Bab 1


Eksperimen 1.3:
Tujuan: Untuk mengkaji kesan kepekatan antibiotik (penisilin) terhadap pertumbuhan bakteria (Bacillus sp.)

Pernyataan masalah: Apakah kesan kepekatan antibiotik terhadap pertumbuhan bakteria?

Hipotesis: Semakin tinggi kepekatan antibiotik, semakin rendah pertumbuhan bakteria.

Pemboleh ubah:
(a) dimanipulasikan : Kepekatan antibiotik
(b) bergerak balas : Luas kawasan jernih
(c) dimalarkan : Jenis bakteria (Bacillus sp.)

Bahan: Larutan kultur bakteria Bacillus sp., agar-agar nutrien steril, empat ceper kertas turas berdiameter 6 mm, larutan penisilin dengan kepekatan yang berlainan seperti 10%, 20% dan 30% (atau ceper kertas turas berdiameter 6 mm dan tiga ceper penisilin yang berkepekatan berlainan seperti 10, 20 dan 30 unit penisilin), air suling, pen penanda dan pita selofan

Radas: Piring Petri dengan penutup, picagari, forseps steril dan kertas grid lut sinar

Prosedur:
1. Sediakan susunan radas (Rajah 1.38).


(a) Tuangkan 1 cm3 larutan kultur bakteria Bacillus sp. ke atas agar-agar nutrien steril di dalam sebuah piring Petri.

(b) Gunakan forseps steril untuk meletakkan ceper kertas turas yang direndam dalam air suling dan larutan penisilin dengan kepekatan 10%, 20% dan 30% ke atas agar-agar nutrien dan kultur bakteria Bacillus sp. di dalam piring Petri (Rajah 1.38).

2. Tutup piring Petri dan lekatkan penutup dengan pita selofan (Rajah 1.39).


3. Simpan piring Petri itu di dalam almari yang gelap pada suhu bilik selama tiga hari.

4. Selepas tiga hari, keluarkan piring Petri dari almari tersebut.

5. Perhatikan kawasan jernih yang mengelilingi setiap ceper kertas turas di dalam piring Petri. Lakarkan pemerhatian anda (rujuk Rajah 1.40).

6. Ukur luas kawasan jernih dengan menggunakan kertas grid lut sinar.



Kesimpulan:
Adakah hipotesis diterima? Apakah kesimpulan eksperimen ini?

Soalan:
1. Apakah tujuan penggunaan ceper kertas turas yang direndam dalam air suling dalam eksperimen ini?

2. Bagaimanakah keluasan kawasan jernih pada permukaan agar-agar nutrien dapat menunjukkan tindakan penisilin terhadap pertumbuhan bakteria?

3. Terangkan pemerhatian yang diperoleh. Berikan sebabnya.


Jawapan:
1. Sebagai kawalan

2. Kawasan jernih pada agar-agar nutrien merupakan kawasan tanpa bakteria atau pertumbuhan bakteria yang terencat. Oleh itu, kawasan jernih yang terbentuk mengelilingi ceper turas yang mengandungi penisillin menunjukkan tindakan penisillin yang merencat pertumbuhan bakteria atau membunuh bakteria.

3. Kawasan jernih yang mengelilingi ceper kertas turas yang mengandungi penisillin berkepekatan tinggi adalah lebih besar atau luas daripada kawasan jernih yang mengelilingi ceper kertas turas yang mengandungi penisillin berkepekatan rendah. Hal ini menunjukkan bahawa semakin tinggi kepekatan penisillin, semakin rendah pertumbuhan bakteria.

Leave a Comment