Praktis Formatif 3.2 – Sains Tingkatan 5 (KSSM) Bab 3


Soalan 1:
Namakan tiga jenis pencemaran alam sekitar.

Jawapan:
Pencemaran tanah, pencemaran air, pencemaran udara, pencemaran terma
(mana-mana tiga)


Soalan 2:
(a) Apakah yang dimaksudkan dengan eutrofikasi?
(b) Namakan jenis pencemaran yang dihubungkaitkan dengan eutrofikasi.

Jawapan:
(a)
Eutrofikasi ialah respons ekosistem terhadap penambahan ion fosfat dan ion nitrat (daripada detergen, baja dan sampah) ke dalam suatu ekosistem akuatik.

(b)
Pencemaran air


Soalan 3:
Namakan satu jenis pencemaran yang menyebabkan kesan buruk yang berikut:
(a) kesan rumah hijau dan pemanasan global
(b) perubahan iklim

Jawapan:
(a) Pencemaran udara

(b) Pencemaran udara, pencemaran terma


Soalan 4:
(a) Apakah Biochemical Oxygen Demand (BOD)?

(b) Apakah hubung kait antara BOD dengan tahap pencemaran air bagi suatu sampel air?

Jawapan:
(a)
Biochemical Oxygen Demand (BOD) adalah jumlah oksigen terlarut yang diperlukan oleh mikroorganisma seperti bakteria untuk mengurai bahan organik.

(b)
Semakin tinggi BOD bagi suatu sampel air, semakin tinggi tahap pencemaran bagi sampel air tersebut.


Soalan 5:
Bagaimanakah larutan metilena biru berfungsi sebagai penunjuk tahap pencemaran air bagi suatu sampel air?

Jawapan:
Masa yang diambil untuk warna larutan metilena biru luntur dalam sampel air menentukan tahap pencemaran air bagi sampel tersebut. Semakin singkat masa yang diambil untuk warna larutan metilena biru luntur dalam suatu sampel air, semakin tinggi tahap pencemaran air bagi sampel tersebut.


Soalan 6:
(a) Namakan mikroorganisma yang digunakan untuk membuat bebola lumpur mikroorganisma efektif.

(b) Bagaimanakah mikroorganisma efektif merawat air yang tercemar?

Jawapan:
(a)
Mikroorganisma efektif terdiri daripada tiga jenis mikroorganisma, iaitu:
• Bakteria asid laktik seperti Lactobacillus casei
• Bakteria fotosintetik seperti Rhodopseudomonas palustris
• Yis (Saccharomyces cerevisiae)

(b)
Mikroorganisma efektif merawat air yang tercemar dengan cara:
• merawat sisa kumbahan
• menyingkirkan bau busuk air
• merencatkan pertumbuhan mikroorganisma berbahaya
• menambah oksigen terlarut
• mengurangkan BOD
• memudahkan pereputan bahan organik untuk menghasilkan bahan keperluan bagi pertumbuhan tumbuhan hijau

Leave a Comment