Praktis Formatif 3.1 – Sains Tingkatan 5 (KSSM) Bab 3

Soalan 1:
Apakah yang dimaksudkan oleh jejak karbon (carbon footprint)?

Jawapan:
Jejak karbon merujuk kepada jumlah karbon dioksida yang dibebaskan ke atmosfera hasil daripada aktiviti individu, peristiwa, organisasi, komuniti atau produk yang digunakan dalam kehidupan harian.

Soalan 2:
Nyatakan tujuh faktor yang lazimnya mempengaruhi impak sesuatu produk yang digunakan dalam kehidupan seharian seseorang individu kepada kelestarian alam sekitar.

Jawapan:
Penggunaan tenaga elektrik, air, pengangkutan, makanan, sisa, pembebasan gas rumah hijau dan kekerapan penggunaan produk tersebut

Soalan 3:
Apakah perbezaan antara jejak karbon (carbon footprint) dengan tapak tangan karbon (carbon handprint) bagi sesuatu produk?

Jawapan:
• Jejak karbon (carbon footprint) bagi sesuatu produk merujuk kepada impak negatif kepada kelestarian alam sekitar yang disebabkan oleh produk tersebut pada sepanjang kitar hayatnya.

• Tapak tangan karbon (carbon handprint) bagi sesuatu produk pula merujuk kepada impak positif kepada kelestarian alam sekitar yang disebabkan oleh produk tersebut pada sepanjang kitar hayatnya.

Soalan 4:
Nyatakan dua jenis kitar hayat yang umum bagi sesuatu produk.

Jawapan:
• Kitar hayat bagi sesuatu produk yang bermula daripada sumber sehingga peringkat pelupusan dan dikitar semula (cradle-to-cradle life cycle of a product).

• Kitar hayat bagi sesuatu produk yang bermula daripada sumber sehingga peringkat pelupusan dan dibiarkan mereput (cradle-to-grave life cycle of a product).

Soalan 5:
Apakah upcycle?

Jawapan:
Upcycle merupakan proses kitar semula untuk menghasilkan produk baharu yang mempunyai nilai yang lebih tinggi daripada produk yang asal.

Soalan 6:
Apakah isu mikroplastik yang diperkatakan dalam siratan makanan?

Jawapan:
Mikroplastik merupakan kepingan plastik yang panjangnya kurang daripada 5 mm dan berbahaya apabila berada di dalam badan organisma akuatik dan dapat dipindahkan melalui pelbagai jenis organisma sehingga berakhir di dalam badan manusia melalui pemakanan dalam siratan makanan.

Pemindahan mikroplastik tersebut dalam siratan makanan menjadi satu isu pemakanan yang mengancam kesihatan manusia.

Leave a Comment